islam

FADHILAT PUASA-PUASA SUNNAT SEPANJANG TAHUN


1. Puasa enam hari dalam bulan Syawal

Fadhilat atau keutamaannya sangat besar sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa Ramadhan, kemudian diiringi dengan puasa (sunnat) enam hari dalam bulan Syawal adalah seperti puasa selama setahun." (Riwayat Muslim)

Cara melakukannya yang terbaik (afdal) secara berturut-turut dan dimulakan pada hari kedua bulan Syawal, tetapi boleh dan sah dengan tidak berturut-turut, misalnya sehari puasa dua hari tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam hari didalam bulan Syawal. Malah sesetengah ulama mengharuskan puasa enam hari dalam bulan Syawal diniatkan berserta puasa qadha Ramadhan.

2. Puasa hari 'Arafah (9 Zulhijjah)

Disunatkan kepada orang yang tidak melakukan ibadah haji. Fadhilatnya sangat besar sebagaimana dijelaskan menerusi hadith daripada Abi Qatadah r.a. ujurnya, Rasullullah s.a.w. telah ditanya oleh sahabat mengenai puasa hari 'Arafah, sabdanya bermaksud: "Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan tahun-tahun kemudiannya." (Riwayatkan oleh Muslim dan al-Turmuzi)

Menerusi hadith daripada Abi Qatadah r.a. juga bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Puasa pada hari 'Arafah itu menghapuskan dosa dua tahun yang lalu dan tahun yang akan datanag." (Diriwayat oleh Muslim)

3.Puasa pada bulan Muharram

Daripada Abi Hurairah r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w. yang maksudnya: "Seafdal-afdal puasa selepas Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram dan seafdal-afdal solat selepas solat fardhu ialah solat malam." (Riwayat Muslim)

Daripada Ibu 'Abbas r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w. maksudnya: "Sesiapa berpuasa pada hari 'Arafah nescaya terhapus dosanya dua tahun dan sesiapa berpuasa satu hari daripada bulan Muharram maka untuknya setiap sehari (mendapat pahala) 30 hari." (Dikeluarkan oleh al-Tabrani)

4.Puasa pada hari 'Asyura (10 Muharram)

Daripada Abi Qatadah r.a. bahawasanya Rasullullah s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura (yakni hari ke-10 bulan Muharram) maka sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: "Ia akan menghapuskan dosa setahun yang lalu." (Riwayat Muslim)

5.Puasa hari Tasu'a (Tanggal 9 Muharram)

Ia disunatkan, namun Rasullullah s.a.w. belum sempat mengerjakannya, bagaimanapun Baginda s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada 9 Muharra." (Riwayat Ahmad dan Muslim)

PERINGATAN

Puasa sunnat pada hari ke-10 Muharram hendaklah digabungkan dengan hari sebelumnya iaitu pada hari ke-9 atau dengan hari selepasnya (yakni hari ke-11) dan lebih baik lagi dikerjakan tiga hari berturut-turut iaitu ke-9,ke-10 dan ke-11. Jika ditunggalkan 10 Muharram sahaja maka hukumnya makruh kerana menyerupai amalan orang Yahudi.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: "Berpuasalah pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan jangalah menyamai perbuatan orang Yahudi; oleh itu berpuasalah sehari sebelum dan sehari sesudahnya." (Riwayat Imam Ahmad)

6.Puasa bulan Sya'aban

Daripada Usamah bin Zaid r.a. katanya, aku berkata: "Wahai Rasullullah, tidak saya lihat tuan hamba berpuasa satu bulan daripada bulan-bulan (dalam setahun selain Ramadhan) seperti tuan berpuasa pada bulan Sya'aban." Sabda Rasullullah s.a.w.: "Bulan ini (yakni bulan Sya'aban) ialah bulan yang manusia lalai padanya antara Rajab dan Ramadhan, pada hal ia (yakni bulan Sya'aban) adalah bulan diangkat amalan kepada Tuhan seru sekelian alam, maka aku suka amalanku diangkat dan aku berpuasa." (Riwayat al-Nasai)

Ummu Salamah r.a. pula berkata: "Tidak pernah aku lihat Rasullullah s.a.w. berpuasa dua bulan berturut-turut melainkan pada bulan Sya'aban dan Ramadhan." (Riwayat al-Turmuzi)

7.Puasa pada hari Isnin dan Khamis

Daripada Abi Hurairah r.a. daripada Rasullullah s.a.w. sabdanya: "Diperlihatkan (kehadrat Allah s.w.t.) segala amalan itu pada hari Isnin dan Khamis, justeru saya suka ketika diperlihatkan amalan-amalanku itu sedang aku berpuasa(Riwayat al-Turmuzi)

Menurut riwayat Muslim diterima daripada Abu Qatadah, pernah ditanyakan kepada Rasullullah sa.w. tentang puasa pada hari Isnin, maka Baginda s.a.w. menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: Itulah hari yang padanya aku dilahirkan, padanya aku dibangkitkan menajdi Rasul dan padanya Al-Quran diturunkan kepadaku." (Subul al-Salam)

8.Puasa hari Rabu, Khamis dan Jumaat

Daripada 'Ubaid bin Muslim al-Qurasyi daripada bapanya r.a. ujurnya, aku bertanya atau ditanya oleh Baginda Rasullullah s.a.w. mengenai puasa dahar (sepanjang tahun), maka Baginda Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Tidak (maksudnya tidak dibenarkan puasa tersebut), kerana sesungguhnya untuk keluargamu atas dirimu ada hak. Oleh itu berpuasalah pada bulan Ramadhan dan yang mengikutinya (enam hari dalam bulan Syawal), dan pada setiap hari Rabu dan Khamis, maka anda sungguh telah (mendapat pahala) puasa sepanjang tahun dan anda juga telah berbuka." (Riwayat Abu Dawud, al-Nasai dan al-Turmuzi)

Daripada Anas bin Malik r.a. bahawa beliau telah mendengar Rasullullah s.a.w. bersabda bermaksud: Sesiapa berpuasa pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat, nescaya Allah s.w.t. membina untuknya sebuah istana disyurga daripada permata, yaqut dan zabarzad dan dicatat baginya bebas dari api neraka" (Riwayat al-Tabrani)

Menerusi riwayat daripada Ibnu Umar r.a., Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat, kemudian bersedekah pada hari Jumaat sedikit atau banyak, nescaya diampunkan semua dosanya hingga menjadi seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya, bersih daripada segala dosa." (Dikeluarkan oleh al-Tabrani)

9.Puasa pada hari Putih (13,14 dan 15 bulan Islam)

Diriwayatkan daripada Jarir r.a. daripada Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Berpuasa tiga hari pada setiap bulan adalah puasa sepanjang tahun iaitu puasa pada hari-hari putih - pada hari 13,14 dan 15 (bulan Qamariyah)." (Riwayat al-Nasai dengan sanad yang sohih)

10.Puasa tiga hari pada setiap bulan

Diriwayatkan oleh Muslim daripada Abi Qatadah, bahawasanya Baginda Rasullullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Puasa tiga hari pada setiap bulan, Ramadhan ke Ramadhan itulah puasa sepanjang masa."

Mengenai berpuasa tiga hari pada setiap bulan, ada beberapa pendapat Ulama. Antaranya dikatakan puasa tiga hari itu ialah puasa pada 13,14 dan 15. Inilah pendapat kebanyakkan Ulama, antara lain Umar, Ibnu Mas'ud, Abu Zar, al-Syafi'i, Abu Hanifah, Ahmad dan Ishaq.
Sementara al-Nakha'i berpendapat ialah puasa tiga hari pada akhir bulan.

11.Puasa selang-seli (sehari puasa sehari tidak)

Hadith daripada Abdullah bin 'Amru ibnu al-'As r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Telah sampai berita kepadaku bahawa anda berpuasa pada waktu siang dan berjaga (kerana beribadah) waktu malam. Jangan buat demikian kerana untuk jasadmu atas dirimu ada habuan, untuk matamu atas dirimu ada habuan dan untuk isterimu ada habuan. Puasalah dan berbukalah. Puasa tiga hari pada setiap bulan, maka dengan demikian anda mendapat pahala sepanjang tahun." Aku berkata: " Wahai Rasullullah, aku mempunyai kekuatan (keupayaan untuk berpuasa). Sabda Baginda Rasullullah s.a.w. "Maka berpuasalah puasa NabiDaud a.s. iaitu berpuasalah sehari dan berbuka sehari." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Abdullah bin 'Amru ibnu al'As katanya, telah bersabda Rasullullah sa.w. bermaksud: "Puasa yang paling disukai oleh Allah s.w.t. ialah puasa Nabi Daud dan solat yang paling disukai Allah s.w.t. ialah solat Nabi Daud, baginda tidur separuh malam dan bangun beribadah sepertiga malam dan tidur seperempat malam dan baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kad Raya Lagi...:)



Assalamualaikum...Alhamdulillah..kali ini saya dapat kad raya lagi...daripada rakan blogger, Zaity...cantik dan menarik kadnya...syukran jazilan buat Zaity...i really appreciate it...moga ukhuwwah antara kita berpanjangan hendaknya...Selamat Hari Raya buat Zaity...Maaf Zahir dan Batin..:)

Jemput Ambil Kad Raya...:)

Assalamualaikum...dijemput kepada semua pengunjung blog ini untuk mengambil Kad Raya yang tidak seberapa ini...Moga dengan pemberian kad ini akan lebih mengeratkan lagi ukhuwwah sesama kita...:) Anda diberi pilihan untuk mengambil kad yang mana satu menjadi pilihan di hati...:) Selamat Hari Raya Aidilfitri...Maaf Zahir dan Batin...



Kad Raya Dari Adelaide...:)


Assalamualaikum...Alhamdulillah...akhirnya harini saya diberi kelapangan dan sedikit waktu oleh Allah SWT untuk menulis serba sedikit dalam blog saya kali ni...:)Beberapa hari ni saya agak sibuk memandangkan Eidulfitri akan tiba tidak berapa lama lagi...Dalam sibuk nak menyambut Eidulfitri..terasa sayu dihati kerana Ramadhan akan berlalu pergi...Terasa cepat sungguh Ramadhan berlalu tahun ini berbanding tahun lepas...Moga kita semua dapat memanfaatkan sebaik mungkin tempoh Ramadhan yang masa berbaki pada tahun ini...Oklah...disini saya ingin mengucapkan Terima Kasih (syukran jazilan) buat Suzi atas pemberian Kad Raya yang cukup cantik....Jauh kad ni dilayangkan...dari Adelaide, Australia...Moga Suzi dan keluarga sentiasa dalam Rahmat dan Redha Allah selalu...Selamat Hari Raya Aidilfitri...Maaf Zahir dan Batin...



Salam Eidulfitri dari Kami Sekeluarga di Bumi Anbiya'...

LAILATULQADAR

Di antara malam-malam Ramadan, terdapat satu malam yang dikenali sebagai lailatulqadar, satu malam yang mempunyai keberkatan yang teramat besar. Dalam al-Qur'an ia dinyatakan sebagai mempunyai keberkatan dan kelebihan rohaniah yang lebih besar daripada seribu bulan. Pada malam itu Allah subhanahu wata'ala menganugerahkan keberkatan, kemuliaan, kerahmatan dan kesejahteraan khususnya kepada umat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Sesungguhnya beruntunglah bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh memperolehi apa yang dianugerahkan Allah pada malam lailatulqadar itu.

Firman Allah subhanahu wata'ala dalam surah al-Qdar ayat 1 - 5 yang maksudnya:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Qur'an) pada malam lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang kebesaran malam lailatul qadar itu? Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan jibrail dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"

Sesungguhnya malam lailatulqadar itu penuh dengan janji-janji Allah subhanahu wata'ala kerana sifat rahman dan rahim-Nya yang ditentukan kepada orang-orang beriman yang sanggup dan bersungguh-sungguh menghidupkan malam itu dengan mengerjakan amal ibadah dengan harapan agar dapat menemukan malam yang penuh keberkatan itu. Pada malam itu Allah subhanahu wata'ala akan melipatgandakan pahala amalan hamba-hamba-Nya yang ikhlas mencari keredaan-Nya.

Pada malam tersebut, jika ditakdirkan oleh Allah subhanahu wata'ala ibadah yang dilakukan bertepatan dengan masa lailatulqadar itu, maka pahala yang bakal diperolehi akan berlipat ganda, sehingga ibadah pada malam itu lebih besar pahalanya dari ibadah selama seribu bulan, sebagaimana firman Allah subhanahu wata'ala dalam surah al-Qdar ayat 3 yang bermaksud:

"Malam lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan."

Kenapakah malam lailatulqadar itu disifatkan sebagai malam yang lebih baik dari seribu bulan? Allah subhanahu wa- ta'ala menjelaskan perkara ini dengan firman-Nya dalam surah al-Qdar, ayat 4 - 5 yang maksudnya:

"(Pada malam itu) diturunkan malaikat dan jibrail dengan izin Tuhan. Kerana mereka dapat mengatur setiap pekerjaan, sehingga selamat sejahtera (malam itu) hingga terbit fajar."

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh an-Imam al-Nasa'ie daripada Abu Hurairah radiallahuanhu bahawa Nabi sallallahu alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:

"Telah datang kepada kamu bulan Ramadan bulan yang penuh keberkatan. Allah 'Azzawajalla telah mewajibkan ke atas kamu supaya berpuasa padanya. (Pada bulan itu) dibukakan pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka serta dimasukkan ke dalamnya syaitan-syaitan. Di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Sesiapa yang tidak diberikan kebaikannya, maka sesungguhnya dia tidak diberikan kebaikan."

Menurut pendapat yang sahih, malam atau masa lailatulqadar ialah pada malam-malam ganjil pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan dan ianya berpindah-pindah dan berubah-ubah sebagaimana hadis riwayat al-Imam at-Tirmizi, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:

"Carilah dengan bersungguh-sungguh malam lailatulqadar itu pada hari kesembilan daripada baki (bulan Ramadan), tujuh, lima atau tiga hari malam terakhir (dari bulan Ramadan)."

Dalam sebuah hadis yang lain riwayat al-Imam at-Tirmidzi, dari Sayidatina Aisyah radiallahuanha katanya yang bermaksud:

"Bahawasanya Rasulullah sallallahu alaihi wasallam berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadat pada sepuluh malam yang akhir (dari bulan ramadan), berbanding dengan malam-malam lainnya."

Oleh kerana hadis-hadis tersebut adalah umum, maka lailatulqadar itu tidaklah dapat ditentukan masa atau ketikanya dengan tepat, hanya kita diarahkan supaya mencari saat tersebut dengan memperbanyakkan ibadat pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan.

Dalam sebuah hadis riwayat al-Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah radiallahu- anhu bahawa Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

"Barangsiapa mengerjakan ibadat di malam lailatulqadar kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredaan-Nya, nescaya diampunkanlah dosanya yang telah lalu."

Hadis ini menunjukkan bahawa ibadat yang dilakukan pada malam lailatul-qadar besar ganjarannya. Oleh yang demikian beruntunglah bagi sesiapa yang menjumpai lailatulqadar itu. Keuntungan yang diperolehinya adalah besar dan tidak ternilai harganya.

Orang-orang yang beramal ibadat pada sepuluh malam yang terakhir dari bulan Ramadan sama ada sedikit ataupun banyak adalah tergolong dalam golongan orang yang berusaha untuk mendapatkan lailatulqadar.

Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah, sehingga kelebihan lailatulqadar itu tetap diberikan kepada sesiapa sahaja yang mengerjakan amal ibadat sekalipun amalan yang dikerjakannya itu hanya sedikit. Oleh kerana keikhlasannya terhadap Allah subhanahu wata'ala, maka pahala dan kelebihan itu tetap diperolehinya. Beramal hanya kerana Allah semata-mata di malam hari itu haruslah juga diteruskan di siang hari. Jadikanlah siang dan malam itu sebagai masa yang diamanahkan untuk beribadat kepada Allah subhanahu wata'ala.

Ibadat yang berterusan ini amat memberi kesan yang nyata pada jiwa dan raga umat Islam jika diamalkan khususnya pada sepuluh yang akhir dalam bulan Ramadan sama ada siang atau malamnya. Mudah-mudahan dengan adanya usaha yang gigih untuk mencapai matlamat memperolehi kelebihan lailatulqadar itu akan dipermudahkan oleh Allah subhanahu wata'ala.

Bagi sesiapa yang tidak berdaya untuk mengerjakan amal ibadat yang banyak maka hendaklah ia beramal dan beribadat sekadar yang mampu dalam usaha mencari malam lailatulqadar. Janganlah dibiarkan malam itu berlalu begitu sahaja tanpa sebarang usaha untuk merebut peluang yang telah diberikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.