islam

Ibadah Puasa melahirkan ketaqwaan kepada Allah swt


Merujuk kepada Ayat 183 surah al Baqarah :

Wahai orang yang beriman ! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya diwajibkan ke atas orang - orang sebelum kamu , semoga kamu bertaqwa kepada Allah swt.

( Surah al Baqarah : Ayat 183 )

Ayat di atas jelas menegaskan bahawa perkara asas yang ingin dicapai melalui ibadah puasa yang difardhukan ini ialah Taqwa. Tanpa taqwa ertinya ibadah puasa yang dilakukan oleh kita tidak mencapai objektif yang dikehendaki oleh Allah swt.

Maksud yang seerti dengannya ialah puasa kita gagal apabila kita gagal mendapatkan taqwa melalui aktiviti puasa di sepanjang bulan Ramadhan ini . Sebab semua orang memahami bahawa kejayaan dalam sesuatu kerja atau urusan ialah melihat kepada hasil atau objektif perlaksanaannya sejauh mana ia dicapai .

Prof. Doktor Wahbah az Zuhaili (Tafsir al Munir : Juzuk kedua /muka surat 130 . Cetakan Darul Fikri Damsyik) ketika menafsirkan ayat ini menyebut bahawa Ibadah Puasa melahirkan ketaqwaan kepada Allah swt melalui beberapa faktor :

1. Puasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah swt. dalam keadaan sembunyi atau terbuka . Lantaran tiada siapa yang memantau atau memerhati orang yang berpuasa melainkan Allah swt. ( Seseorang boleh makan lalu berpura – pura lapar dihadapan manusia tetapi tidak dihadapan Allah swt. Justeru Allah swt adalah Tuhan yang Maha Mengetahui .)

2. Mengekang keterlanjuran syahwah dan meringankan pengaruh serta penguasaannya. (lantaran puasa melemahkan gelora nafsu .)

3. Mencetus naluri yang peka ( sensitive ) dan bersifat belas simpati terhadap insan yang lain . (Lapar sewaktu berpuasa adalah mengingatkan kita kepada mereka yang miskin dan tidak bernasib baik)

4. Ibadah puasa memahamkan kita pengertian persamaan kedudukan taraf orang – orang kaya dan miskin di sisi Allah swt.

5. Meletakkan kehidupan Insan dan pengurusannya di atas sistem (yang benar dan menepati fitrah) dan mendisiplinkannya.

6. Memulihkan struktur dalaman tubuh , menguatkan kesihatan dan membebaskan jasad dari sebarang unsur yang memudharatkan jasad .

0 comments: