islam

Cahaya Matahari, Faktor Genetik Punca Pigmentasi (Jeragat)
Jeragat adalah sejenis penyakit kulit yang tidak berbahaya tetapi kehadirannya menyebabkan kulit wajah seseorang kelihatan tidak sihat, selain menjejaskan penampilan individu.
Perunding Dermatologi Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Noraziah Abd Kadir Jailani, berkata, makna jeragat terlalu meluas dalam kamus perubatan, namun, masyarakat khususnya orang Melayu mengenali jeragat sebagai tompok hitam atau pigmentasi pada kulit atau biji hitam seperti tahi lalat yang bertapak secara berkelompok di beberapa bahagian badan, wajah dan leher."
Jeragat bagi pemahaman masyarakat tergolong kepada dua jenis iaitu pigmentasi (tompok hitam yang leper di dalam lapisan kulit atau biji seperti ketumbuhan kecil padakulit). Masalah pigmentasi adalah seperti melasme, freckles atau solar lentigenes."
Masalah biji atau ketumbuhan pula seperti seborrhoeic keratoses (biji hitam yang timbul seperti tahi lalat yang tumbuh secara berkelompok), actinic keratoses dan skin tag (lebihan daging berwarna coklat atau hitam) yang kebiasaannya tumbuh pada leher, muka dan celah ketiak.
Walaupun jeragat tergolong sebagai penyakit kulit ia tidak menimbulkan kesan memudaratkan kecuali kaedah rawatan dan bahan yang digunakan tidak bersesuaian atau perlakuan fizikal di sekitar kulit berjeragat seperti mengutil dan mencabut mampu menyebabkan kesan luka, berdarah dan bernanah pada kawasan bermasalah, katanya.
Beliau berkata, ada beberapa faktor menyebabkan kulit ditumbuhi jeragat iaitu kesan cahaya matahari dan faktor genetik. Bagi pengambilan ubat-ubatan seperti pil perancang pula boleh menyebabkan potensi kulit berjeragat terhadap individu lebih tinggi.
Kebiasaannya jeragat menyerang wanita pertengahan umur seperti 40 tahun ke atas. Tetapi tidak mustahil golongan awal 20-an juga berdepan dengan masalah ini berikutan jeragat juga berpunca daripada faktor genetik.
Bagi wanita yang terdedah dengan cahaya matahari, risiko berdepan kulit berjeragat lebih besar.
Malah, masalah pigmentasi juga dikesan daripada pengambilan ubat seperti pil perancang, amiodarone, bleomycine, chloroquine, antibiotic seperti minocydine dan lain-lain lagi, katanya.Dr Norazhah berkata, jeragat boleh dirawat sama ada dengan menggunakan ubat yang disapu pada kulit bermasalah atau secara fizikal melalui teknik pembedahan tertentu. Kesesuaian rawatan bergantung pada jenis jeragat.Katanya, bagi jeragat timbul seperti seborrhoeic keratoses, actinic keratoses dan skin tag, rawatan fizikal adalah cara terbaik manaka penggunaan krim adalah tidak sesuai.
Seborrho keratoses boleh dirawat dengan rawatan fizikal menggunakan electrocautery iaitu alat cautery yang menghasilkan 'heat' (haba) yang berfungsi memusnahkan kelompok bintik hitam berkenaan atau rawatan Cryotherapy yang menggunakan cecair nitrogen atau rawatan pembedahan laser.
Rawatan bagi melasme pula adalah sapuan krim seperti krim hydroquinone, krim daripada kombinasi hydroquinone, tretinoin dan steroid, krim isotrenoin atau pengelupasan kimia, katanya.Beliau berkata, melasme sering menyerang wanita kerana selain daripada pendedahan cahaya matahari dan faktor genetik, melasme juga berpunca daripada kehamilan atau pengambilan pil perancang.Katanya, melasme iaitu pigmentasi atau tompok leper berwarna kelabu atau hitam yang ada di bawah lapisan kulit ini, kebiasaannya boleh dirawat dengan rawatan krim, tetapi ada juga pigmentasi yang tebal dan dalam yang mungkin memerlukan rawatan fizikal untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.
Bagi mengatasi masalah jeragat, wanita disaran lebih peka terhadap penjagaan kulit termasuk mengambil langkah pencegahan dengan menggunakan krim pelindung matahari sekiranya melakukan aktiviti luar selain mendapat rujukan doktor untuk mengenalpasti penyebab dan rawatan sesuai."
Semakin berusia individu itu semakin banyak jeragat yang timbul pada kulit. Walaupun jeragat adalah penyakit kulit, ia tidak berbahaya atau mengancam nyawa. Tetapi bagi warga tua yang menghadapi masalah jeragat serius mereka disaran berjumpa doktor kerana dibimbangi ia bukan jeragat biasa tetapi sejenis kanser kulit,”. katanya.

0 comments: