islam


PELIHARA AKAL, JAUHI GEJALA YANG BOLEH MEROSAKKANNYA


MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.


Allah Subhanahu Wata'ala menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian, dikurniakan-Nya akal untuk membezakan manusia dengan haiwan. Dengan akal, manusia dapat membezakan mana baik dan buruk, mana halal mana haram. Untuk kehidupan yang sempurna dan teratur, akal sangat-sangat memainkan peranan penting, oleh itu akal perlu dijaga dengan sebaik-baiknya dan jangan dirosakkan.


Untuk menunjukkan betapa pentingnya akal itu kepada manusia, maka di dalam Al-Qur'an telah menyebutkan perkataan akal itu tidak kurang dari 49 kali. Ini bererti akal itu amat perlu bagi manusia untuk memikirkan segala apa yang dijadikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat 219, tafsirnya :


"Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir."


Dalam usaha menjaga akal itu daripada rosak dan menghadapi gangguan, maka agama Islam mengharamkan segala perkara yang boleh mengganggu atau merosakkan fungsi akal seperti meminum arak, menyalahgunakan dadah dan segala benda yang memabukkan.


Tetapi apa yang mendukacitakan, terdapat segelintir manusia tidak menghargai anugerah Allah Subhanahu Wata'ala yang amat berharga itu, merosakkannya dengan dadah secara sengaja tanpa memikirkan akibat perbuatan yang dilakukan walaupun telah mengetahui dadah itu sangat membahayakan. Ini akibatnya jika akal tidak dimanfaatkan dengan betul. Kalau manusia hilang akal, maka pada ketika itu manusia akan menjadi seperti haiwan. Perbuatan ini bererti mencampakkan diri ke arah kebinasaan secara sengaja, sedangkan perkara ini dilarang oleh Allah Subhanahu Wata'ala sebagaimana
firman-Nya dalam Surah Al Baqarah ayat 195, tafsirnya:


"Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan."


Ketahuilah wahai kaum Muslimin, bahawa penyalahgunaan dadah itu boleh menghilangkan akal yang sihat. Orang yang mengambil bahan-bahan ini akan keluar dari tabiat yang sebenarnya kerana akalnya sudah terganggu sehingga yang jauh menjadi dekat dan yang dekat menjadi jauh, dapat membuat akal menjadi lupa, tenggelam dalam khayalan dan lamunan yang bukan-bukan. Yang lebih teruk lagi, mereka akan lupa diri, lupa agama dan lupa dunia. Ingatlah bahawa dadah itu mempunyai pengaruh yang lebih besar dan lebih berbahaya daripada minuman keras dan sudah sewajarnya orang yang terlibat dengan dadah ini dikenakan hukuman dengan seberat-beratnya.


Ada orang mengatakan dadah itu boleh memberi ketenangan, menyelesaikan masalah, menghilangkan rasa malu, menambahkan dan meningkatkan prestasi. Menghilangkan rasa bosan dan sebagainya. Sebenarnya kenyataan sedemikian adalah tidak benar dan tidak berasas, tetapi jika dikatakan dadah itu membawa masalah, itulah sebenarnya, kerana ia punca masalah seperti menyebabkan kemiskinan, harta benda habis dijual, keganasan terjadi di dalam rumah tangga, keluarga menjadi porak-peranda, pecah amanah, menipu dan susah dipercayai, selalu meminjam wang kepada rakan-rakan sejawat, mencuri barang-barang yang boleh dijual, menimbulkan huru-hara dan ketakutan dalam masyarakat, terjadinya kejadian rompakan dan peras ugut, tidak kurang juga berlakunya pembunuhan, ada penagih yang sanggup membunuh ibu bapa, isteri, anak, tanpa memperdulikan mereka itu keluarganya sendiri bahkan sesiapa saja.


Selain itu, gejala penagihan dadah mendatangkan risiko kepada negara kerana dibebani perbelanjaan rawatan dan pemulihan yang begitu besar. Dan yang paling mengkhuatirkan, negara akan kehilangan aset yang diharap-harapkan selaku generasi pelapis yang bakal menjadi pemimpin negara.


Bersabit dengan masalah dadah ini, ada pula yang menyatakan dadah itu tidak haram kerana tidak disebutkan di dalam Al-Qur'an dan hadis sebagaimana hukum meminum arak. Tetapi perlulah difahami, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda, maksudnya:


"Daripada Ibnu Umar Radiallahuanhuma, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Semua yang memabukkan itu adalah termasuk dalam erti kata arak dan semua yang memabukkan itu adalah haram." (Riwayat Al Imam Muslim).


Dari hadis tersebut dapatlah difahami bahawa setiap yang memabukkan itu adalah haram, oleh kerana penyalahgunaan dadah itu juga memabukkan dan mengkhayalkan, maka hukumnya juga haram samalah seperti arak.


Bersempena dengan sambutan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan Dadah dan Pengedaran Dadah Haram 2008 ini, maka semua pihak perlu bekerjasama dan berganding bahu, tidak hanya memandang sebelah mata dalam usaha membanteras gejala ini, demi mencapai hasrat negara dalam ASEAN Bebas Dadah pada tahun 2015 menjadi realiti. Sama-samalah kita berdoa semoga rakyat dan penduduk negara ini selamat dan terhindar dari bahaya dadah dan apa jua perkara yang diharamkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal’alamin.


Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah At Tahriim ayat 6, tafsirnya:


"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu berhala, neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar layanannya, mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."

Dipetik dari: Pelita Brunei- Khutbah

0 comments: