islam

HUKUM MENDENGAR SUARA WANITA MELALUI TELEFON


[Fatwa as-Syeikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Jubairin. Dinukil dari kitab Fatawa Wanita Muslimah jilid 1 halaman 434 cetakan Adhwaus Salaf].

Soalan:

Apakah hukumnya seseorang lelaki ajnabi mendengar suara wanita ajnabiah melalui talian telefon atau melalui peralatan talian perhubungan lain?

Jawapan:

Suara seseorang wanita ajnabiah ketika beliau berada berhampiran dengan lelaki ajnabi adalah dianggap sebagai aurat menurut pendapat yang sahih. Oleh itu, seseorang wanita tidak dibolehkan mengucapkan tasbih di dalam sembahyang mereka ketika mereka menegur sesuatu perbuatan imam yang salah sebagaimana lelaki mengucapkan tasbih. Bahkan, seseorang wanita hanya memadai menepuk belakang tangannya. Begitulah seterusnya, seseorang wanita tidak dibolehkan meninggikan suaranya ketika mengucapkan talbiah semasa mereka berihram kecuali menurut kadar yang boleh didengar oleh teman wanitanya.

Tetapi, sebahagian ulamak mengharuskan seseorang wanita ajnabiah bercakap dengan lelaki ajnabi dengan kadar keperluan seperti menjawab persoalan. Sebahagian isteri-isteri para Sahabat RA pun meriwayatkan beberapa buah hadis dan sebilangan lelaki telah mendengar periwayatannya tetapi perbuatan tersebut dengan syarat tidak adanya sebarang keraguan dan tidak ada pengaruh yang boleh menimbulkan gerakan syahwat.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 32 yang bermaksud,
"Maka seseorang wanita itu janganlah melembutkan suaranya kerana menyebabkan hati orang lelaki yang ada penyakit akan menaruh harapan. Seseorang wanita hendaklah mengucapkan perkataan yang sopan."

Penyakit syahwat adalah dianggap sebagai zina yang boleh berlaku dalam hati ketika seseorang wanita melembutkan atau merendahkan suaranya. Berdasarkan kepada permasalahan ini, seseorang wanita sewajarnya menjawab persoalan menurut kadar keperluan bila bercakap melalui telefon sama ada wanita itu memulakan perbualan atau membalas percakapan kepada lelaki ajnabi yang menghubunginya melalui talian telefon. Dalam keadaan ini, perbuatan mereka adalah di dalam hal yang sangat diperlukan untuk melakukannya, percakapan mereka akan menghasilkan faedah syarak bagi kedua-dua belah pihak, bukan berada di tempat yang meragukan, tidak mengeluarkan suara yang lembut lagi tidak mempunyai faedah, tidak akan menyebabkan kepada pengaruh syahwat dari salah seorang dari keduanya. Yang lebih utama, mereka hendaklah meninggalkan perbualan itu melainkan ketika tersangat perlu.

0 comments: