islam

MUSLIMAH SEBAGAI ISTERI DAN IBU DALAM PERJUANGAN ISLAM


Wanita Islam taat kepada suaminya bukanlah kerana didorong oleh perasaan rendah diri atau terpaksa, tetapi ia diterima dengan ikhlas hari dan suami diletakkan sebagai pembimbing terbaik. Asma binti Yazid seorang wanita Ansar yang mahsyur, terkenal kerana kepetahan berbicara telah mengetuai beberapa orang wanita untuk memberitahu Rasulullah s.a.w akan kekecewaan mereka kerana kelebihan ganjaran kepada lelaki. Beliau mempersoalkan bahawa lelaki mempunyai peluang lebih untuk mendapat pahala melalui solat jumaat, solat jamaah, menziarahi orang sakit, menghantar jenazah dan melibatkan diri dalam jihad. Sedangkan kaum muslimah tidak dapat melibatkan diri secara sepenuhnya ke dalam amalan-amalan tersebut. Rasulullah s.a.w memberikan jawapan yang sangat mudah tetapi mempunyai makna yang sangat tinggi, iaitu jika wanita tersebut menyintai suaminya, menggembirakannya dan metaatinya, ia juga akan menerima ganjaran yang sama seperti yang di dapati oleh lelaki.


Seorang isteri yang beragama Islam amat mengambil berat akan kesihatan jiwa suaminya di damping menjaga keselesaan hidupnya. Muslimah mesti menjadi pendorong dan penyokong dalam perjuangan suaminya. Berkorban apa saja demi perjuangan Islam. Janganlah isteri pejuang Islam menjadi sebab kepada gugurnya suami dari medan perjuangan Islam. Janganlah memberatkan suami dengan perkara remeh-temeh. Jika boleh, urusan yang dapat diselesaikan sendiri, selesaikanlah secara sendiri. mereka juga hendaklah melatih diri sebagai isteri yang cekap dalam pengurusan rumahtangga, mempunyai keyakinan diri dan mempunyai matlamat hidup ke arah melahirkan generasi Al-Quran.


Ummu Sulaim biti Malhan ibu kepada Anas bin Malik mempunyai anak lelaki yang sakit tenat. Sedang suaminya solat Asar di masjid, anak mereka meninggal dunia. Ia tidak memanggil suaminya, sebaliknya menunggu sehinggalah suaminya pulang. Ketika pulang, suaminya membawa beberapa orang teman. Ummu Sulaim menahan dirinya dan menyediakan makanan untuk tetamunya. Kemudian apabila ditanya oleh suaminya akan kesihatan anaknya, ia menjawab lebih sihat dari sebelumnya. Tetapi setelah keadaan tenang, barulah diberitahu keadaan yang sebenarnya. Demikianlah contoh seorang isteri dan ibu yang tenang dalam menghadapi keadaan yang gawat.


Wanita Islam juga mestilah sentiasa berhati-hati dalam memilih calon suami. Janganlah jadikan alasan suami membuatkan muslimah berundur selangkah demi selangkah dari medan perjuangan Islam. Pilihlah calon suami yang bakal menjadi pendorong dan sumber inspirasi dalam perjuangan Islam. Suami yang dapat memberi kerjasama dalam rumahtangga dan perjuangan Islam. Ibarat kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Sebagaimana Ummu Sulaim enggan menerima lamaran Abu Talhah kerana ia masih percaya kepada jahiliyyah. Ia menyuruh Abu Talhah meninggalkan alam jahiliyyah dan memeluk agama Islam. Gesaan ini memberi kesedaran kepada Abu Talhah dan akhirnya memilih Islam dan Ummu Sulaim.


Ketaatan kepada Islam menjadikan wanita Islam ibu yang baik. Ia mendidik anak-anak dengan kecenderungan yang berpandukan kepada nilai-nilai Islam. Sikap keibuan bagi seorang wanita adalah punca utama melahirkan akhlak yang baik kepada anak-anak. Sebagai seorang ibuyang terlibat dalam harakah Islamiyyah, seawajarnya mereka menjelaskan kepada anak-anak tentang penglibatan mereka tersebut, yakni tuntutan terhadap mengintimakan (menyertai) jamaah Islam, supaya anak-anak mereka faham kegiatan-kegiatan ibu mereka yang mungkin sedikit sebanyak menjejaskan peranan mereka sebagai ibu di dalam dunia rumahtangga. Muslimah seharusnya menanamkan sifat berdikari kepada anak-anak mereka sejak kecil.


Begitu juga mereka sewajarnya menjadi seorang ibu yang dapat meniup roh perjuangan Islam ke dalam diri anak-anak. Seharusnya ibu-ibu muslimah sentiasa mendedahkan kepada anak-anak setiap aktiviti dalam kegiatan harakah. Anak-anak patut dibawa bersama-sama menghadiri rehlah, perkhemahan, jambori amal, ceramah dan muktamar mahu pun lain-lain program parti dan jamaah.

0 comments: