islam

PENGHUNI SYURGA

Suatu ketika Nabi Muhammad saw. Duduk di masjid dan berbincang-bincang dengan sahabatnya. Tiba-tiba beliau bersabda: "Sebentar lagi seorang penghuni syurga akan masuk kemari." Semua mata pun tertuju ke pintu masjid dan pikiran para hadirin membayangkan seorang yang luar biasa. "Penghuni syurga, penghuni syurga," demikian teriak mereka.

Beberapa saat kemudian masuklah seorang dengan air wudhu yang masih membasahi wajahnya dan dengan tangan menjinjing sepasang alas kaki. Apa gerangan keistimewaan orang itu sehingga mendapat jaminan syurga? Tidak seorangpun yang berani bertanya walau seluruh hadirin merindukan jawabannya.

Keesokan harinya peristiwa di atas berulang lagi. Ucapan Nabi dan "si penghuni" syurga dengan keadaan yang semuanya terulang, bahkan pada hari ketiga pun terjadi hal yang demikian.

Abdullah ibnu'Amr tidak tahan lagi, meskipun ia tidak berani bertanya dan khawatir jangan sampai ia mendapat jawaban yang tidak memuaskannya. Maka timbullah sesuatu dalam benaknya. Dia mendatangi si penghuni syurga sambil berkata: "Saudara, telah terjadi salah faham antara aku dan orang tuaku, dapatkah aku menumpang di rumah anda selama tiga hari?"

"Tentu, tentu….," jawab si penghuni syurga. Rupanya Abdullah ingin melihat secara langsung amalan si penghuni syurga.

Tiga hari tiga malam ia memperhatikan, mengamati bahkan mengintip si penghuni syurga, tetapi tidak ada sesuatu pun yang istimewa. Tidak ada ibadah khusus yang dilakukan si penghuni syurga. Tidak ada solat malam, tidak pula sunnah. Ia bahkan tidur dengan nyenyaknya hingga beberapa saat sebelum fajar. Memang sesekali ia terbangun dan ketika itu terdengar menyebut nama Allah di pembaringannya, tetapi sejenak saja dan tidurnya pun diteruskan.

Pada siang hari si penghuni syurga bekerja dengan tekun. Ia ke pasar, sebagaimana halnya semua orang yang ke pasar. "Pasti ada sesuatu yang disembunyikan atau yang tak sempat kulihat. Aku harus berterus terang kepadanya," demikian fikir Abdullah.

"Apakah yang anda buat sehingga Anda mendapat jaminan syurga?" tanya Abdullah.

"Apa yang anda lihat itulah!" jawab si penghuni syurga. Dengan kecewa Abdullahterus kembali saja ke rumah, tetapi tiba- tiba tangannya dipegang oleh si penghuni syurga seraya berkata: "Apa yang anda lihat itulah yang saya lakukan, ditambah sedikit lagi, iaitu saya tidak pernah merasa iri hati terhadap seseorang yang dianugerahi nikmat oleh Tuhan. Tidak pernah pula saya melakukan penipuan dalam segala aktiviti saya."

Dengan menundukkan kepala Abdullah meninggalkan si penghuni syurga sambil berkata: "Rupanya yang demikian itulah yang menjadikan Anda mendapat jaminan syurga."

Kisah di atas diambil dari buku Fath Al-Nubuwah. "Astaghfirullah, mampukah kita mengikuti jejaknya?

Wallahu A'lam"

0 comments: